Ahad, 26 September 2010

Signifikan Tajus al-Salatin Dalam Masyarakat Kini


Dalam era globalisasi yang dihadapi oleh masyarakat kini banyak kepincangan yang berlaku dalam melestarikannya. Keadaan ini memberi impak kepada pembangunan spiritual yang negatif kepada masyarakat. Kepincangan ini dilihat dengan timbulnya agenda kolonialisasi, penyelewengan, rasuah dan lain-lain lagi yang menular dalam masyarakat kini.
Berbanding dengan perspektif Islam pula manusia dianggap sebagai khalifah Allah di muka bumi yang dikurniakan akal dan tanggungjawab terhadapnya. Sehubungan itu, adalah wajar bagi setiap individu yang dianggap sebagai pemimpin untuk memenuhi tuntutan dan peranannya kepada penciptanya. Dengan demikian, dalam mendepani arus globalisasi ini peranan sastera mampu memberi sumbangan dalam menangani kepincangan ini. Sumbangan ini dapat dilihat dalam warisan perbendaharaan kesusasteraan Melayu tradisional melalui genre ketatanegaraan iaitu karya Tajus al-Salatin karangan Bukhari al-Jauhari.
Tajus al-Salatin muncul pada tahun 1603 di Acheh pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Ri’ayat Syah Sayid al-Mukammil (1588-1604) yang dijadikan panduan dan cerminan kepada pemerintah dalam mentadbir negara. Karya ini berteraskan Islam berdasarkan pengalaman dan perlakuan pemimpin-pemimpin praIslam dan Islam sama ada yang zalim atau adil mahupun kafir atau Islam sebagai perbandingan. Karya ini juga digunakan dengan meluas oleh pemimpin-pemimpin mahupun individu  dalam masyarakat Melayu terdahulu.
Sehubungan itu, dalam senario dewasa ini pemimpin pada era globalisasi dilihat lebih bersifat rakus, angkuh, mementingkan diri dan tidak bertanggungjawab. Sikap negatif ini akan membawa kepada kehancuran dalam masyarakat. Seterusnya kepincangan-kepincangan ini akan menjatuhkan nilai martabat sesebuah bangsa itu sendiri.
            Justeru itu, karya kesusasteraan Melayu tradisional khususnya Tajus al-Salatin adalah signifikan dalam menangani arus globalisasi. Berteraskan Islam dan pemikiran serta konsep-konsep yang disarankan kepada pemimpin mahupun individu akan membentuk acuan sendiri dalam kalangan masyarakat dewasa ini. Seterusnya penghayatannya dapat memberi keadilan dan faedahnya dinikmati sesama insan. Karya kesusasteraan Melayu tradisional bukan hanya sekadar khazanah atau warisan bangsa tatapi merupakan titik permulaan peradaban kepada tamadun bangsa. Segala pemikiran di dalamnya terkandung nilai sejagat yang harus dicerapkan ke dalam masyarakat kini. Sehubungan itu, jangan diketepikan dan harus diketengahkan signifikannya dalam kalangan masyarakat agar dapat membentuk sebuah masyarakat yang aman dan harmoni. 

Sabtu, 25 September 2010

Novel Zikir Rindu Karya Popular Atau Serius?


Azizi Abdullah telah berjaya menjadi seorang penulis yang tersohor negara dengan menerima anugerah ‘MASTERA’ dan ‘Sea Write Award’ pada tahun 2007.  Sehubungan itu, Azizi Abdullah telah menghasilkan novel Zikir Rindu yang merupakan novel terbarunya mengisahkan tentang runtunan perasaan seorang tua yang diminati oleh perempuan muda. Inilah yang anehnya dan keanehan dirasai oleh watak utama dalam novel ini iaitu ‘aku’. Selain itu penulis juga menyelitkan dalam novel ini tentang penderitaan yang dialami oleh seorang isteri menghadapi suaminya yang terlantar sakit.



Azizi membawa tema percintaan seorang tua dan perempuan yang tidak pernah ditemuinya dalam alam realiti tetapi hanya fantasi, mengajak si tua untuk berbakti pada Tuhan dengan pendekatan sufi, dikisahkan tentang perempuan tersebut sering mengajak si tua mentaqarrub diri kepada Rab Yang Maha Zat sehingga lupa bahawa si tua telah berimamkan seorang syaitan dan alpa di dalam tipu daya dan hasutannya.

Perjalanan cerita sangat menarik, penuh suspen, dan tidak menemui klimaks ceritanya seperti penulisan biasa, tetapi penamatnya tersebut hanya tersedar apabila pembaca membaca sinopsis cerita, baru tersedar bahawa apa yang cuba ditonjolkan Azizi sangat luar biasa dan bukannya penulisan biasa. Sangat menarik menjadi tatapan bacaan buat semua untuk mengkoreksi diri kita dari sudut amalan seharian kita, mudah-mudahan kita tidak terpedaya dengan hasutan dan godaan syaitan. Seperti mana yang diketahui Azizi Abdullah merupakan tokoh besar dalam bidang penulisan. Banyak karya-karyanya yang bersifat serius atau berat. Namun begitu, kencenderungan Azizi Abdullah pula kepada penerbit novel popular dilihat satu persoalan yang timbul mengenai status penulisannya. Diketahui sebelum ini, karya-karya Azizi Abdullah sebelum ini banyak dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka atau Utusan. Kemunculan novel terbarunya iaitu Zikir Rindu menarik minat saya untuk mengkaji novel ini samada ianya adalah sebuah novel popular atau novel serius?

Sekiranya saya melihat plot cerita novel ini adalah berbentuk kronologi yang begitu mudah untuk difahami oleh pembaca tanpa mengira peringkat umur. Justeru itu novel ini boleh dikatakan novel popular berdasarkan  binaan plot atau jalinan peristiwa dalam novel ini yang mempunyai sebab dan akibat yang meruntun perasaan dan jiwa pembaca melalui tema cintanya. Perkembangan cerita juga menarik dan mudah untuk difahami oleh pembaca. Selain itu juga penggunaan teknik dalam plot yang menarik oleh pengarang dalam mengembangkan plot juga memberi kesan kepada pembaca. Teknik dialog yang mudah dan pengunaan bahasa yang indah menjadikan novel ini mudah diterima oleh golongan pembaca. Selain itu terdapat beberapa unsur suspens dan kejutan yang membuatkan pembaca tertanya-tanya dan menimbulkan minat pembaca untuk meneruskan pembacaan novel ini. Hal ini kerana pembaca ingin meleraikan segala tanda tanya dalam fikiran mereka terhadap konflik dalam novel ini.
Melalui novel ini juga dapat dilihat nilai dagangan yang dikehendaki oleh penerbitnya iaitu ALAF 21 yang mahukan novel yang becorak “Penajiwa.” Hal ini disebabkan trend pada masa sekarang ini lebih kepada novel yang berunsur Islamik. Selain itu juga ciri-ciri lain yang boleh mentakrifkan novel ini sebagai novel popular ialah dari segi tarikan komersialnya dapat dilihat dari aspek kulit mukanya yang dihiasi cantik dan struktur dalaman novel itu dipenuhi dengan gambaran lukisan pada setiap bab serta prolog tentang tema novel tersebut. Malahan terdapat pula pada muka surat akhir novel ini penerbit menyelitkan beberapa katalog tentang novel keluaran mereka sebagai tanda promosi untuk pemasaran niaga.

Jumaat, 24 September 2010

Polemik Sastera Islam Dekad 70-an dan 80-an

Permasalahan yang timbul mengenai sastera Islam pada dekad 70-an dan 80-an ini apabila timbulnya dua pihak yang bertentangan prinsip dalam membicarakan tentang konsep dan teori sastera Islam. Satu pihak yang menerima sastera Islam di alam Melayu dan satu lagi pihak yang cuba memberi tafsiran yang bertentangan mengenai sastera Islam. Satu pihak begitu optimistik serta menghayati Islam secara bersungguh-sungguh dalam memperkenalkan sastera Islam dalam dunia sastera Melayu. Satu lagi pihak yang pesimistik, serta meragukan untuk disesuaikan di dalam dunia sastera Melayu pada masa itu. Golongan ini terdedah kepada pengaruh sekular yang di bawa oleh Barat.

            Polemik sastera Islam antara Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad bermula pada dekad 70-an apabila Shahnon Ahmad menulis tentang pandangannya mengenai sastera Islam pada bulan Julai 1977 di Dewan Bahasa. Beliau begitu tegas dengan pendiriannya sehingga dua tahun kemudian beliau mengeluarkan saranannya iaitu beliau tidak akan dipengaruhi oleh aliran-aliran khususnya dari Barat yang boleh menggongcangkan keyakinannya terhadap sastera Islam. Pandangan Shahnon Ahmad mengenai sastera Islam dibalas dengan kenyataan sinis daripada Dinsman pada tahun 1977 melalui tulisannya terhadap kemunculan sastera Islam iaitu Soalnya Kenapa Kita Mesti Bercakap tentang Sastera Islam. Pada tahun yang sama S. Othman Kelantan dengan tulisannya iaitu Konsep Sastera Islam  dan Ismail Hamid dengan tulisannya iaitu Kesusasteraan Islam dan Masyarakat juga memberi pandangan mereka mengenai sastera Islam sebagai menerima kumunculan sastera Islam di alam Melayu. Rasa pesimis terhadap kemunculan sastera Islam juga terus berlanjutan apabila Sahlan Mohd Saman mengetengahkan pandangannya melalui artikel pada tahun 1978 iaitu Apa Perlunya Sastera Islam?.

Pada dekad 80-an adalah zaman kebangkitan polemik sastera Islam. Pada dekad ini memperlihatkan kehangatan berpolemik antara dua tokoh sastera Melayu iaitu Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad mengenai sastera Islam. Hal ini dapat dilabelkan mengenai Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad kepada timbulnya dua pihak di dalam sastera Melayu. Shahnon Ahmad adalah antara pihak yang cuba membawa sastera Islam ke  alam Melayu. Manakala Kassim Ahmad pula adalah pihak yang memberi. tafsiran berbeza mengenai sastera Islam. Permasalahan timbul bertitik tolak daripada kenyataan Shahnon Ahmad menolak konsep Seni untuk Masyarakat dan Seni untuk Seni kerana baginya kedua-dua konsep itu bertolak dari dasar yang bercanggah dengan Islam. Beliau juga menolak ASAS 50 kerana baginya tindak-tanduk watak-watak dalam karya ASAS 50 adalah tindakan yang mengikut kebendaan dan bukannya tindakan mengenai pengabdian kepada Allah. Sehubungan itu beliau mengeluarkan konsepnya iaitu Seni untuk Allah. Lantaran daripada kenyataan Shahnon Ahmad itu mendapat tentangan kuat daripada Kassim Ahmad yang merupakan orang kuat di dalam ASAS 50. Kassim Ahmad membalas kenyataan Shahnon Ahmad yang menolak ASAS 50 dengan menyatakan bahawa Shahnon Ahmad berfikiran sempit dan meneliti dengan baik mengenai nilai-nilai yang terdapat di dalam karya-karya ASAS 50 adalah nilai yang terkandung di dalam Islam. selain itu juga Kassim Ahmad mengupas buku Kesusasteraan dan Etika Islam karya Shahnon Ahmad yang dikatakan sebagai gagal menyampaikan satu huraian yang memuaskan tentang teori sastera Islam.

Kenyataan Kassim Ahmad itu diterima oleh Shahnon yang menyifatkan bahawa buku tersebut hanyalah berlegar kepada teologi dan sejarah Islam. kerana bagi Shahnon Ahmad pekara ini disengajakan oleh beliau supaya pekara ini perlu menjadi kewajaran untuk diperkukuhkan terlebih dahulu sebelum menyentuh soal-soal definisi sastera Islam itu sendiri. Shahnon Ahmad kemudiannya menyentuh soal definisi yang ditekaknkan oleh Shahnon Ahmad ialah sastera itu kerana Allah dan berhikmah untuk manusia. Kassim Ahmad mengulas definisi tersebut dengan mengatakan bahawa ianya kabur tetapi akhirnya beliau menerima definisi itu berbanding dengan konsep di dalam ASAS 50.

Permasalahan sekali lagi timbul antara mereka apabila Kassim Ahmad tidak mahu mengaku kalah dan mengulangi bahawa sesetengah pendapat Shahnon Ahmad tidak jelas dan menimbulkan kesulitan. Kassim Ahmad sekali lagi menyentuh soal definisi sastera Islam yang dikatakan adalah tidak jelas sedangkan karya-karya sastera Islam perlulah jelas dan dihasilkan sebagai ibadah kepada Allah dan bertujuan untuk manusia. Polemik ini menjadi senakin hangat apabila Kassim Ahmad seolah-olah mendapat idea baru untuk menolak definisi yang dikemukakan oleh Shahnon Ahmad. Kassim merumuskan bahawa Shahnon tidak menerangkan siapa seni itu dicipta. Dalam kenyataan Kassim Ahmad ini mejelaskan kekaburan definisi sastera Islam yang dinyatakan oleh Shahnon Ahmad.

Bertitik tolak daripada permasalahan yang timbul ini polemik antara Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad berlarutan dan masing masing tetap dengan pendirian mereka. Akhirnya polemik konsep sastera Islami dengan menggunakan istilah Sastera Islam menyebabkan timbulnya lebih banyak masalah daripada menyelesaikan masalah. Shahnon Ahmad mengatakan sastera Islam mesti ditulis oleh orang beragama Islam sahaja. Maka timbul isu daripada Kassim Ahmad bagaimana status sastera agung dunia yang ditulis oleh orang bukan Islam yang kandungannya tidak bertentangan dengan Islam. Apakah Islam menolak khazanah itu sebagai khazanah yang bermanfaat dibaca oleh orang Islam? Selain itu Juga bagaimanakah status karya-karya yang ditulis sebelum si penulis masuk Islam, ataupun sebelum si penulis keluar Islam. Shahnon Ahmad juga mengatakan karya sastera Islam mesti ditulis dengan adanya niat mahu menulis kerana Allah semata-mata. Maka timbul isu daripada Kassim Ahmad bagaimanakah kriteria ini dapat dipastikan kerana isu niat si penulis adalah sesuatu yang hanya diketahui oleh yang empunya diri. Bagaimana mungkin seseorang itu mengetahui apa niat individu lain. Selain itu juga, niat yang betul belum tentu menjamin karya yang dihasilkan itu Islamik. Shahnon Ahmad juga mengatakan karya sastera Islam mestilah kandungannya dengan terang dan jelas selaras dengan pandangan Islam. Maka Kassim Ahmad menyatakan timbul masalah kekaburan tentang kriteria keselarasan kandungan karya dengan pandangan Islam. Sebagai contoh, bagaimanakah status karya yang bertemakan pandangan Syiah, apakah ia dapat diterima sebagai sastera Islam dalam konteks masyarakat yang anti-syiah?

Polemik sastera Islam pada dekad 70-an dan 80-an belum ada akhirnya. Melalui polemik antara kedua-dua tokoh ini timbulnya beberapa aliran atau kelompok di dalam dunia sastera Melayu khusunya dalam membincangkan mengenai sastera Islam. 

Khamis, 23 September 2010

Tajus Salatin Hubungannya Dengan Pemimpin Era Globalisasi

Taj al-Salatin dikarang oleh Bukhari Al-Jauhari pada tahun 1603 yang dikaitkan dengan sebuah tempat di Bukhara iaitu salah sebuah tempat di Uzbekistan. Pada masa ini para sarjana sastera masih belum mengetahui siapa sebenarnya Bukhari Al-Jauhari, namun begitu ada ura-ura mengatakan bahawa nama Bukhari Al-Jauhari berkait rapat dengan seorang tokoh Islam iaitu Iman al-Bukhari. Seterusnya Iman al-Bukhari adalah pengarang kumpulan tradisi yang dikumpulkan dalam Sahih Bukhari iaitu sebuah buku yang bertajuk Al-Jami-al-Sahih, yang dianggap orang Islam Sunni sebagai hadis sahih daripada Nabi Muhammad s.a.w. Karya sejarahnya yang terkenal ialah sebuah buku yang bertajuk Al-Tarikh-al-Kabi. Buku Tajus-Salatin yang diselenggara oleh Khalid Hussain pada tahun 1992 adalah mengisahkan tentang panduan atau saranan untuk menjadi pemimpin yang baik. Karya ini berteraskan perinsip dan ajaran Islam yang menjadi pegangan dan cerminan pada zaman pemerintahan sultan Alauddin Riayat Shah. Karya ini menjadi peranan yang besar dan dijadikan panduan kepada pembesar Melayu pada ketika itu. 

Dalam era globalisasi ini Tajus Salatin membawa suatu penganjuran konsep kepimpinan yang berteraskan Islam bagi menegakkan keadilan untuk dinikmati faedahnya sesama insan. Peranan dan fungsinya mampu dimanfaatkan dalam era globalisasi untuk melahirkan individu yang berketerampilan baik, positif dan peka terhadap kebajikan bersama. Penghayatan ke atas teks ini akan menghasilkan para pemimpin yang adil dan keadilan itu akan dimanfaati oleh segenap lapisan masyarakat di bawah pimpinannya. Oleh itu, jelas sekali bahawa Tajus Salatin ini mampu memberi sumbangan yang bermakna kepada khalayak dalam memupuk pembentukan kualiti diri yang ideal bagi para pemimpin.

Ringkasan Tajus Salatin

Karya ini dimulai dengan suatu pendahuluan yang diikuti dengan huraian yang terdiri dari dua puluh empat fasal. Pada peringkat pendahuluan karya ini berisikan puji-pujian kepada Allah s.w.t dan Nabi Muhammad s.a.w serta para sahabatnya iaitu keempat khalifah r.a. Selain itu, karya ini juga berisikan tentang tujuan buku ini dikarang adalah untuk memberitahu mengenai pekerti seorang raja, menteri, hulubalang dan rakyat serta tugas dan tanggungjawab mereka masing-masing. Buku ini juga menegaskan betapa besar dan mulianya seseorang raja itu sekirangnya mempelajari serta dijadikan panduan terhadap buku ini sehingga layaklah baginya sesuatu makhota.                                                                                

Fasal pertama menyatakan tentang manusia mengenal dirinya sendiri. Tentang bagaimana asal mulanya dan bagaimana terjadinya manusia. Fasal ini dimulai dengan hadis nabi yang bermaksud barang siapa yang mengenal dirinya maka sesungguhnya ia mengenal Tuhannya. Fasal kedua pula mengisahkan tentang bagaimana orang mengenal Tuhan yang menjadikan mereka dan juga alam semesta. Fasal ini dimulakan dengan sepotong ayat al-Quran yang bermaksud ada pun hak Tuhan menjadikan sekalian manusia dan segala jin dari kerana mengenal zat-Nya dan mengetahui sifat-Nya segala mereka itu dan nyata kuasaan Tuhan akan segala hamba-Nya. Fasal ketiga, menyatakan bagaimana mengenal dunia. Fasal ini didasarkan pada sepotong ayat al-Quran yang menjelaskan tentang rezeki yang tuhan kurniakan kepada manusia dan mengaplikasikan kurniaan tuhan itu dengan sebaik-baiknya. Fasal keepat, menyatakan kesudahan kehidupan  manusia dan saat terakhir menjelang maut. Fasal ini dimulakan dengan firman Allah yang menjelaskan setiap kehidupan akan mati. Dalam fasal ini menjelaskan dua golongan manusia iaitu yang leka dengan duniawi dan golongan yang berbudi yang mengejar akhirat.                                                                                                                                          Fasal kelima, menyatakan martabat dan kekuasaan raja. Sebagai contoh pemerintahan Musa, Yusuf, Daud, Muhammad, Abu Bakar, Uthman dan Ali. Fasal keenam, didasari dengan firma Allah menyatakan tentang keadilan dan bagaimana menegakkan keadilan. Melalui firman Allah memerintahkan supaya berlaku adil dan melakukan kebaikan. Sekiranya berlaku hal sebaliknya, akan hilanglah daulat raja. Fasal ketujuh, menyatakan budi pekerti raja yang adil yang bergaul dengan orang yang beriman serta menjauhkan diri dari sebaliknya. Diberikan contoh seperti Khalifah Umar dan Raja Harun al-Rasyid. Fasal kelapan, menyatakan tentang raja kafir yang berlaku adil seperti Raja Nusyirwan. Keadilan raja itu sehingga mendapat gelaran Nusyirwan ‘Adil  dan mendapat kemuliaan. Sekiranya dilakukan oleh orang yang beriman akan bertambahlah kemuliaannya. Fasal kesembilan, menyatakan tentang kezaliman dan penindasan sekiranya melalakukannya akan dimurkai Allah dan tidak mendapat syafaat Nabi Muhammad s.aw. Fasal kesepuluh, menyatakan pelajaran tentang tugas dan kewajipan serta budi pekerti pembesar-pembesar kerajaan dalam pemerintahan dan pekerjaan mereka masing-masing. Suatu kerajaan atau suatu pemerintahan itu diibaratkan sebagai suatu mahligai berdiri di atas empat buah tiang utama iaitu menteri berwibawa, panglima yang berani, pembesar yang amanah dan mukhbir iaitu penyiar berita yang jujur.                                                                                                 

Fasal kesebelas, menyatakan tentang tugas dan kewajipan para penulis kerajaan. Huraian ini berdasarkan firman Allah yang menjelaskan betapa pentingnya qalam daripada pedang sehingga penulis dikatakan juru bicara raja.  Fasal kedua belas, menyatakan tentang tugas dan kewajipan para duta kerajaan. Fasal ini berdasarkan sebuah ayat yang menjelaskan tentang para rasul yang tidak takut dalam menyampaikan perintah Allah. Diberikan contoh melalui Hikayat Nabi Musa dan Hikayat Nabi Harun. Duta dikatakan sebagai ganti mata, telinga dan lidah raja. Fasal ketiga belas, menyatakan tentang budi pekerti semua hamba raja supaya menjadi hamba yang terpuji. Fasal keempat belas, menyatakan tentang cara mendidik anak. Dikatakannya bahawa anak itu dari kecil adalah suci dari semua kejahatan. Ibu bapalah yang harus mendidiknya. Fasal kelima belas, menyatakan tentang berlaku hemat yang benar. Supaya orang berlaku hemat dan tidak akan dihina. Fasal keenam belas, menyatakan tentang akal dan orang yang berakal. Akal manusia merupakan pertimbangan yang membezakan baik dan buruk. Manusia yang berilmu harus berbudi agar dapat dimanfaatkan. Fasal ketujuh belas, menyatakan tentang undang-undang dasar kerajaan. Raja wajib memelihara undang-undang agar tidak menyimpang.                        
                                                                                                                  
Fasal kelapan belas, menyatakan tentang ilmu kiafat dan firasat. Sebagai ilmu untuk mengenali manusia seperti ilmu nubuat, ilmu wilayat, ilmu hikmat dan ilmu kiafat dan firasat. Fasal kesembilan belas, menyatakan tentang tanda-tanda ilmu kiafat dan firasat. kedua-dua ilmu ini berbeza tapi salaing berkaitan dan berasal dari satu tempat yang sama. Dalam ilmu kiafat adalah untuk mengetahui tanda-tanda pada tubuh manusia. Apabila mengenal tanda-tanda pada tubuh manusia dipanggil ilmu firasat. Tujuan mempelajari ilmu ini supaya orang dapat membedakan antara kebaikan dan keburukan. Fasal kedua puluh, menyatakan tentang hubungan hamba yang Islam terhadap rajanya.  Dalam fasal ini ditunjukkan dua puluh hak hamba itu terhadap rajanya. Dalam fasal ini ditunjukkan adanya dua puluh hak hamba itu terhadap rajanya. Hak itu ditunjukkan satu persatu dengan cerita sebagai huraian.                                                                      

Dalam fasal kedua puluh satu, menyatakan tentang hubungan hamba yang kafir terhadap rajanya.  Dalam fasal ini menceritakan hubungan Umar dengan hamban rakyatnya yang kafir, baggaimana tindakan Umar sehingga negeri pemerintahannya aman dan harmoni. Hubungan hamba yang kafir dengan rajanya dalam fasal ini ditunjukkan dalam dua puluh syarat. Fasal kedua puluh dua, menyatakan tentang keadilan dan sifat mulia. Dalam fasal ini dimulakan dengan hadis yang mengatakan bahawa Allah mengasihani orang yang pemurah dan benci kepada orang yang bakhil. Sehingga dikatakan orang yang pemurah adalah mulia dan orang bakhil adalah orang yang hina. Demikian juga sifat pemurah merupakan perhiasan manusia sedang sifat bakhil merupakkan cela bagi manusia. orang pemurah akan masyhur dan seluruh manusia membencinya meskipun belum diketahui kerugian kebakhilannya. Inilah tanda pemisah antara kemuliaan dan kejahatan. Pada fasal ini diberikan empat hikayat sebagai contoh.                            

Fasal kedua puluh tiga, menyatakan tentang sifat menepati janji. Pekerjaan kerajaan itu terletak pada sifat menepati janji ini. Semua bangsawan, dermawan, budiman, beriman, terutama raja harus selalu menepati janji. Dalam huraian itu diberikan beberapa hikayat sebagai teladan. Fasal yang terkahir sekali ialah fasal dua puluh empat, yang merupakan fasal penutup. Dalam fasal ini diberikan petunjuk bagaimana melaksanakan pedoman pada fasal-fasal dalam Tajus Salatin supaya aman dan harmoni sesebuah negeri.




Rabu, 22 September 2010

Plot dalam Novel

Plot

Plot atau alur adalah struktur rangkaian kejadian dalam cerita yang disusun sebagai urutan bahagian-bahagian dalam keseluruhan fiksyen atau cerpen. Dengan demikian, plot merupakan perpaduan unsur-unsur yang membangun cerita sehingga menjadi kerangka utama cerita. Plot merupakan kerangka dasar yang amat penting. Plot mengatur bagaimana tindakan-tindakan harus berkaitan satu sama lain, bagaimana suatu peristiwa mempunyai hubungan dengan peristiwa lain, serta bagaimana watak digambarkan dan berperanan dalam peristiwa itu. Perrine dalam bukunya Literature: Structure, Sound and Sense (1974: 41) menjelaskan bahawa:
plot is the sequence of incident or events which the story is composed and it may conclude what character says or thinks, as well as what he does, but it leaves out description and analysis and concentrate ordinarily on major happening

Binaan Plot

Plot mempunyai peranan penting dalam menunjukkan perubahan suatu cerita. Di dalam sesebuah cerita plot terbina daripada rentetan jalinan peristiwa yang dipaparkan pada peringkat permulaan, perkembangan, kemuncak dan juga peleraian.

Permulaan

Bahagian permulaan plot merupakan peringkat pengarang memulakan cerita. Pada peringkat ini, pengarang boleh memulakan cerita sama ada dengan memperkenalkan tema, watak, latar, peristiwa ataupun persoalan cerita. Ada kalanya pada bahagian permulaan ini dimulakan dengan teknik pemerian. Pelbagai cara mengikut kreativiti pengarang dalam memulakan cerita mereka. Permulaan yang baik akan menarik minat pembaca untuk terus membaca cerita tersebut.

Perkembangan

Dalam bahagian ini, cerita mula dikembangkan oleh pengarang. Peristiwa demi peristiwa dijalinkan padu menggunakan pelbagai teknik. Penggunaan teknik penceritaan yang pelbagai akan menjadikan cerita lebih menarik dan berkesan. Pada bahagian ini juga pengarang memuatkan pelbagai konflik, kejutan serta unsur-unsur suspens supaya pembaca tidak jemu untuk meneruskan pembacaan. Perkembangan cerita yang baik dan menarik akan membuat pembaca terpesona untuk terus membaca cerita tersebut. Kebiasaannya perkembangan cerita ditunjangan dengan pelbagai peristiwa yang mempunyai sebab dan akibat di dalam sesebuah cerita. Perkembangan cerita yang tidak masuk akal akan membuatkan pembaca berasa bosan dan boleh mendera minda pembaca untuk menghabiskan cerita tersebut.

Puncak

Puncak merupakan detik ketegangan bagi konflik yang timbul dalam sesebuah cerita. Biasanya pada peringkat ini, konflik yang terdapat dalam sesebuah cerita menjadi lebih tegang. Pada bahagian ini cerita akan menjadi lebih menarik. Pembaca akan terus mengikuti perjalanan cerita untuk mengetahui kesudahannya.

Peleraian

Bahagian peleraian merupakan peringkat bagaimana pengarang menyudahkan cerita. Terdapat pelbagai cara pengarang menamatkan cerita. Adakalanya, peleraian cerita terbiar atau tergantung dengan penuh suspens. Cara ini menuntut pembaca meramalkan apakah yang akan berlaku seterusnya. Kebiasaanya bahagian peleraian ini diatamatkan dengan kesudahan happy ending di mana penghujung cerita berakhir dengan kemenangan watak utama.

Jenis Plot

Pengarang menggunakan daya kreativiti masing-masing untuk mengembangkan plot cerita dalam sesebuah karya. Terdapat dua jenis plot dalam cerita iaitu plot kronologi dan plot tidak kronologi. Plot kronologi biasanya plot yang disusun dalam sesebuah cerita secara berurutan. Plot ini bermula dengan memaparkan permulaan cerita. Kemudian pada tahap perkembangan, plot mula dikembangkan dengan memaparkan pelbagai peristiwa hingga menuju ke puncak cerita. Kemudian, plot akan menuju kepada peleraian.
Plot tidak kronologi bermaksud peristiwa yang dipaparkan dalam cerita tidak berurutan. Plot ini juga dimulakan dengan permulaan, tetapi perkembangan peristiwa dalam cerita disusun secara melompat hingga ke puncak cerita seterusnya kepada peleraian cerita. Plot yang konsisten dengan cerita atau tidak melompat-lompat akan lebih mudah difahami oleh pembaca daripada plot yang melompat-lompat.

Novel Popular dalam Sastera Melayu

Fenomena novel popular sejak dekad ini semakin berkembang pesat di Malaysia. Perkembangan ini mula menular pada awal tahun 90-an dan mula runcing pada tahun 2000. Kehadiran begitu banyak novel popular yang berkisarkan tema kekeluargaan dan percintaan, di samping isu semasa yang berkaitan dengan dunia korporat orang Melayu yang penuh dengan ranjau yang dihasilkan oleh penulis-penulis muda kini sebenarnya sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan kepada dunia kesusasteraan di Malaysia. Banyak diskusi dan forum diadakan untuk membincangkan isu ini. Namun begitu perkembangan sebenar novel popular ini masih belum dapat dipastikan kerana belum ada kajian yang dilakukan oleh sarjana sastera mengenai perkembangannya. Selain itu, pentakrifan yang mantap dan khusus mengenai novel popular juga masih belum termaktub dalam sastera nasional.. Walhal kemungkinan ciri-ciri dan sifat-sifat novel popular sudah lama wujud seawal tahun 1920 lagi.
Meskipun begitu, pentakrifan novel popular masih lagi baru dan bermula pada awal tahun 90-an. Pelbagai pandangan diberikan oleh tokoh tempatan dan tokoh Barat mengenai novel popular. Antaranya ialah Walter Nash, menurut Walter Nash (1990) dalam bukunya Language In Popular Fiction, bahawa sastera popular ialah karya pop mudah dibezakan kerana ia tidak ada merit iaitu tidak ada kualiti. Karya pop, adalah umpama satu artikel yang boleh dibuang, hanya ditunjangi satu moral yang amat mudah dan paling ringkas, disuntik psikologi yang paling kasar dan hanya dihidangkan dengan satu dua pendapat yang disangka falsafah. Selain itu, Holman dan Harmon (1992) pula mentakrifkan sastera popular seperti berikut:

“Writing in one of the commercially viable modes, especially prose fiction. This literature is valued on a strictly quantitative basis – number of copies sold. It is both creature and creator of popular taste, and it maybe a more reliable index of what the majority of people really have in their minds.”

Ciri utama yang menentukan sesebuah karya sastera itu popular atau sebaliknya diukur pada banyak atau sedikit jumlah naskhah yang terjual. Di Malaysia, kalau sesebuah buku laris jualannya, buku itu sudah dapat dipanggil mahakarya dan dikategorikan sebagai buku sastera popular.  Oleh itu, bagi T. Alias Taib (Dewan Sastera Julai 2001), sastera popular tidak semestinya sastera remaja semata-mata yang difahami hari ini. Sastera popular kadangkala juga merupakan cereka serius seperti yang berlaku pada Hartini karya Aziz Afkar atau Salina karya A. Samad Said yang diulang cetak berkali-kali. Namun, dalam industri buku, karya popular dalam kalangan pembaca ialah novel yang tidak “memeningkan” kepala, yang sampai langsung ke hati pembaca. Ini termasukkan novel yang menyingkap rahsia dan kerenah anak-anak muda belasan tahun di bawah cakerawala remaja. Menurut T. Alias Taib (Dewan Sastera Julai 2001), novel “berat” (atau serius) yang mengajak pembaca berfikir ibarat meredah hutan masalah dan falsafah manakala novel “ringan” (atau popular) ibarat gurun Sahara yang datar dan kering.
Menurut Scott McCracken (1998) pula menerusi bukunya Pulp: Reading Popular Fiction, beliau mengatakan novel popular hanya mementingkan aspek-aspek struktural novel semata-mata. Penulis novel popular amat mementingkan plot, watak dan perwatakan, latar, sudut pandangan dan sebagainya sambil mengabaikan bahagian yang paling penting dalam novel iaitu makna. Menurutnya juga novel boleh menjadi apa sahaja kerana pengarang bebas memilih sama ada genre roman cinta, detektif, fantasi, sains fiksyen dan seram tetapi makna dan pengisian karya adalah yang paling penting. 


Bagi Shahnon Ahmad (1994), karya sastera seperti novel sebenarnya adalah sulit dan rahsia, disulit dan dirahsiakan oleh sasterawan melalui wadah yang membentuk karyanya kerana makna kehidupan itu sendiri pun adalah sulit dan rahsia. Hanya kepada “orang-orang yang suka berfikir” yang benar-benar dapat merasai keindahan, kenikmatan, dan kebenaran sastera. Bagi mereka yang tidak gemar berfikir, sastera yang sulit dan rahsia tidak mampu diapresiasinya. Inilah yang berlaku pada kebanyakan golongan muda sekarang. Membaca bagi mereka sekadar hiburan pada masa lapang.

Sekiranya dilihat daripada beberapa pandangan tokoh sastera tempatan mahupun Barat pentakrifan dan ciri-ciri sastera popular masih lagi belum mantap dan boleh menimbulkan kekeliruan sesetengah pihak dalam mengelaskan ciri-ciri sastera popular dari genre lain terutamanya sastera remaja. Hal ini kerana sastera popular selalunya mengikut dan cuba untuk memenuhi keperluan serta pemintaan zaman atau trend semasa. Hal ini dapat dilihat pada trend novel popular dewasa ini, apabila gaya penulisan sastera popular lebih bersifat Islamik dan pembangunan jiwa remaja. Sehubungan itu, beberapa takrifan awal mengenai sastera popular masih belum mantap hal ini kerana perkembangan sastera popular itu sendiri adalah mengikut rentak, persekitaran milieu dan aliran masyarakat itu sendiri. Oleh itu, kenyataan Holman dan Harmon (1992) yang menjelaskan karya popular adalah bersifat komersial. Kenyataan ini boleh diterima kerana penulisan karya popular seringkali berkaitan dengan tujuan pemasaran. Oleh demikian, tujuan pemasaran seringkali berkaitan dengan perniagaan untung dan rugi syarikat penerbitan. Justeru itu peranan penerbit juga turut termasuk dalam melengkapkan takrifan mengenai sastera popular. 


Selain itu, menurut Jaafar Rahim, Ketua 1 Kelab Penulis Kuala Lumpur (KALAM), “Generasi hari ini bukan seperti 30 tahun yang lalu. Mereka tidak kisah dengan perjuangan orang Melayu ataupun konflik moraliti sesebuah bangsa. Mereka juga sudah tidak berkenan dengan bahasa sastera yang serius tetapi mahukan bahan bacaan yang lebih santai tetapi mencabar” (Massa, 18 Januari 2003). Berdasarkan kajian “Sambutan Khalayak Terhadap Novel Melayu di Malaysia” yang dilakukan oleh Mohamad Mokhtar dan Hamedi pada tahun 2004 hanya 8.9 peratus responden yang meminati novel serius dan selebihnya lebih meminati novel-novel popular termasuk novel remaja dan novel picisan (Mohamad Mokhtar Hassan 2006).
            Keadaan ini menyebabkan pengarang atau penulis muda hari ini lebih ghairah menulis karya popular. Tidak seperti penulis-penulis pada zaman sekitar tahun 1960-an dan 1970-an yang lebih mementingkan mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat, penulis abad ini terlalu terikut dengan trend dan lebih mementingkan selera pembaca semata-mata. Para penerbit buku juga terutama penerbit swasta lebih cenderung kepada karya popular kerana ia lebih mendapat sambutan. Para penerbit dan penulis menyedari keadaan ini dan kebanyakannya hanya menuruti keadaan pasaran semasa. Dengan memahami faktor persekitaran dan sosial masyarakat, penerbit akan cuba mencari penulis yang mampu menghasilkan manuskrip yang sesuai dan memenuhi selera semasa ini dan seterusnya menerbitkan novel yang sesuai dengan kehendak dan cita rasa peminat novel Melayu. Maka, lahirlah novel-novel popular yang berfokuskan pada emosi yang kebanyakannya bertemakan kekeluargaan dan percintaan. Novel-novel ini berjaya dijual beribu-ribu naskhah dan diulang cetak. Novel sedemikian mendapat sambutan dalam kalangan remaja dan belia yang sememangnya merupakan golongan yang mempunyai tabiat membeli yang memberangsangkan yang secara langsung memberi sumbangan kepada kelangsungan sesebuah penerbit.