Fenomena novel popular sejak dekad ini semakin berkembang pesat di Malaysia. Perkembangan ini mula menular pada awal tahun 90-an dan mula runcing pada tahun 2000. Kehadiran begitu banyak novel popular yang berkisarkan tema kekeluargaan dan percintaan, di samping isu semasa yang berkaitan dengan dunia korporat orang Melayu yang penuh dengan ranjau yang dihasilkan oleh penulis-penulis muda kini sebenarnya sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan kepada dunia kesusasteraan di Malaysia. Banyak diskusi dan forum diadakan untuk membincangkan isu ini. Namun begitu perkembangan sebenar novel popular ini masih belum dapat dipastikan kerana belum ada kajian yang dilakukan oleh sarjana sastera mengenai perkembangannya. Selain itu, pentakrifan yang mantap dan khusus mengenai novel popular juga masih belum termaktub dalam sastera nasional.. Walhal kemungkinan ciri-ciri dan sifat-sifat novel popular sudah lama wujud seawal tahun 1920 lagi.
Meskipun begitu, pentakrifan novel popular masih lagi baru dan bermula pada awal tahun 90-an. Pelbagai pandangan diberikan oleh tokoh tempatan dan tokoh Barat mengenai novel popular. Antaranya ialah Walter Nash, menurut Walter Nash (1990) dalam bukunya Language In Popular Fiction, bahawa sastera popular ialah karya pop mudah dibezakan kerana ia tidak ada merit iaitu tidak ada kualiti. Karya pop, adalah umpama satu artikel yang boleh dibuang, hanya ditunjangi satu moral yang amat mudah dan paling ringkas, disuntik psikologi yang paling kasar dan hanya dihidangkan dengan satu dua pendapat yang disangka falsafah. Selain itu, Holman dan Harmon (1992) pula mentakrifkan sastera popular seperti berikut:
“Writing in one of the commercially viable modes, especially prose fiction. This literature is valued on a strictly quantitative basis – number of copies sold. It is both creature and creator of popular taste, and it maybe a more reliable index of what the majority of people really have in their minds.”
Ciri utama yang menentukan sesebuah karya sastera itu popular atau sebaliknya diukur pada banyak atau sedikit jumlah naskhah yang terjual. Di Malaysia, kalau sesebuah buku laris jualannya, buku itu sudah dapat dipanggil mahakarya dan dikategorikan sebagai buku sastera popular. Oleh itu, bagi T. Alias Taib (Dewan Sastera Julai 2001), sastera popular tidak semestinya sastera remaja semata-mata yang difahami hari ini. Sastera popular kadangkala juga merupakan cereka serius seperti yang berlaku pada Hartini karya Aziz Afkar atau Salina karya A. Samad Said yang diulang cetak berkali-kali. Namun, dalam industri buku, karya popular dalam kalangan pembaca ialah novel yang tidak “memeningkan” kepala, yang sampai langsung ke hati pembaca. Ini termasukkan novel yang menyingkap rahsia dan kerenah anak-anak muda belasan tahun di bawah cakerawala remaja. Menurut T. Alias Taib (Dewan Sastera Julai 2001), novel “berat” (atau serius) yang mengajak pembaca berfikir ibarat meredah hutan masalah dan falsafah manakala novel “ringan” (atau popular) ibarat gurun Sahara yang datar dan kering.
Menurut Scott McCracken (1998) pula menerusi bukunya Pulp: Reading Popular Fiction, beliau mengatakan novel popular hanya mementingkan aspek-aspek struktural novel semata-mata. Penulis novel popular amat mementingkan plot, watak dan perwatakan, latar, sudut pandangan dan sebagainya sambil mengabaikan bahagian yang paling penting dalam novel iaitu makna. Menurutnya juga novel boleh menjadi apa sahaja kerana pengarang bebas memilih sama ada genre roman cinta, detektif, fantasi, sains fiksyen dan seram tetapi makna dan pengisian karya adalah yang paling penting.
Bagi Shahnon Ahmad (1994), karya sastera seperti novel sebenarnya adalah sulit dan rahsia, disulit dan dirahsiakan oleh sasterawan melalui wadah yang membentuk karyanya kerana makna kehidupan itu sendiri pun adalah sulit dan rahsia. Hanya kepada “orang-orang yang suka berfikir” yang benar-benar dapat merasai keindahan, kenikmatan, dan kebenaran sastera. Bagi mereka yang tidak gemar berfikir, sastera yang sulit dan rahsia tidak mampu diapresiasinya. Inilah yang berlaku pada kebanyakan golongan muda sekarang. Membaca bagi mereka sekadar hiburan pada masa lapang.
Bagi Shahnon Ahmad (1994), karya sastera seperti novel sebenarnya adalah sulit dan rahsia, disulit dan dirahsiakan oleh sasterawan melalui wadah yang membentuk karyanya kerana makna kehidupan itu sendiri pun adalah sulit dan rahsia. Hanya kepada “orang-orang yang suka berfikir” yang benar-benar dapat merasai keindahan, kenikmatan, dan kebenaran sastera. Bagi mereka yang tidak gemar berfikir, sastera yang sulit dan rahsia tidak mampu diapresiasinya. Inilah yang berlaku pada kebanyakan golongan muda sekarang. Membaca bagi mereka sekadar hiburan pada masa lapang.
Sekiranya dilihat daripada beberapa pandangan tokoh sastera tempatan mahupun Barat pentakrifan dan ciri-ciri sastera popular masih lagi belum mantap dan boleh menimbulkan kekeliruan sesetengah pihak dalam mengelaskan ciri-ciri sastera popular dari genre lain terutamanya sastera remaja. Hal ini kerana sastera popular selalunya mengikut dan cuba untuk memenuhi keperluan serta pemintaan zaman atau trend semasa. Hal ini dapat dilihat pada trend novel popular dewasa ini, apabila gaya penulisan sastera popular lebih bersifat Islamik dan pembangunan jiwa remaja. Sehubungan itu, beberapa takrifan awal mengenai sastera popular masih belum mantap hal ini kerana perkembangan sastera popular itu sendiri adalah mengikut rentak, persekitaran milieu dan aliran masyarakat itu sendiri. Oleh itu, kenyataan Holman dan Harmon (1992) yang menjelaskan karya popular adalah bersifat komersial. Kenyataan ini boleh diterima kerana penulisan karya popular seringkali berkaitan dengan tujuan pemasaran. Oleh demikian, tujuan pemasaran seringkali berkaitan dengan perniagaan untung dan rugi syarikat penerbitan. Justeru itu peranan penerbit juga turut termasuk dalam melengkapkan takrifan mengenai sastera popular.
Selain itu, menurut Jaafar Rahim, Ketua 1 Kelab Penulis Kuala Lumpur (KALAM), “Generasi hari ini bukan seperti 30 tahun yang lalu. Mereka tidak kisah dengan perjuangan orang Melayu ataupun konflik moraliti sesebuah bangsa. Mereka juga sudah tidak berkenan dengan bahasa sastera yang serius tetapi mahukan bahan bacaan yang lebih santai tetapi mencabar” (Massa, 18 Januari 2003). Berdasarkan kajian “Sambutan Khalayak Terhadap Novel Melayu di Malaysia” yang dilakukan oleh Mohamad Mokhtar dan Hamedi pada tahun 2004 hanya 8.9 peratus responden yang meminati novel serius dan selebihnya lebih meminati novel-novel popular termasuk novel remaja dan novel picisan (Mohamad Mokhtar Hassan 2006).
Selain itu, menurut Jaafar Rahim, Ketua 1 Kelab Penulis Kuala Lumpur (KALAM), “Generasi hari ini bukan seperti 30 tahun yang lalu. Mereka tidak kisah dengan perjuangan orang Melayu ataupun konflik moraliti sesebuah bangsa. Mereka juga sudah tidak berkenan dengan bahasa sastera yang serius tetapi mahukan bahan bacaan yang lebih santai tetapi mencabar” (Massa, 18 Januari 2003). Berdasarkan kajian “Sambutan Khalayak Terhadap Novel Melayu di Malaysia” yang dilakukan oleh Mohamad Mokhtar dan Hamedi pada tahun 2004 hanya 8.9 peratus responden yang meminati novel serius dan selebihnya lebih meminati novel-novel popular termasuk novel remaja dan novel picisan (Mohamad Mokhtar Hassan 2006).
Keadaan ini menyebabkan pengarang atau penulis muda hari ini lebih ghairah menulis karya popular. Tidak seperti penulis-penulis pada zaman sekitar tahun 1960-an dan 1970-an yang lebih mementingkan mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat, penulis abad ini terlalu terikut dengan trend dan lebih mementingkan selera pembaca semata-mata. Para penerbit buku juga terutama penerbit swasta lebih cenderung kepada karya popular kerana ia lebih mendapat sambutan. Para penerbit dan penulis menyedari keadaan ini dan kebanyakannya hanya menuruti keadaan pasaran semasa. Dengan memahami faktor persekitaran dan sosial masyarakat, penerbit akan cuba mencari penulis yang mampu menghasilkan manuskrip yang sesuai dan memenuhi selera semasa ini dan seterusnya menerbitkan novel yang sesuai dengan kehendak dan cita rasa peminat novel Melayu. Maka, lahirlah novel-novel popular yang berfokuskan pada emosi yang kebanyakannya bertemakan kekeluargaan dan percintaan. Novel-novel ini berjaya dijual beribu-ribu naskhah dan diulang cetak. Novel sedemikian mendapat sambutan dalam kalangan remaja dan belia yang sememangnya merupakan golongan yang mempunyai tabiat membeli yang memberangsangkan yang secara langsung memberi sumbangan kepada kelangsungan sesebuah penerbit.
salam..menarik perbincangan saudara.isi-isi blog saudara boleh menambahkan ilmu saya mengenai kesusasteraan popular dan industri buku. terima kasih.
BalasPadamterima kasih di atas perkongsian ini.
BalasPadam