Rabu, 27 Oktober 2010

Tajus al-Salatin VS Bustan al-Salatin Dalam Hal Kepimpinan Wanita

Dalam dunia kesusasteraan Melayu tradisional terdapat dua buah karya terbesar dalam genre sastera ketatanegaraan yang membicarakan tentang kualiti diri sebagai pemimpin. Karya tersebut ialah Taj al-Salatin yang dikarang oleh Bukhari al-Jauhari pada tahun 1603 di Acheh dan  Bustan al-Salatin yang dikarang oleh Nuruddin ar-Raniri pada tahun 1636. Kedua-dua karya ini dijadikan panduan dan cerminan kepada pemerintah dalam mentadbir negara.

Kedua-dua karya ini juga dinyatakan tentang pemerintahan oleh raja wanita. Melalui artikel Women Rajas in Two Classical Malay Texts: the Bustan al-Salatin and the Taj al-Salatin yang ditulis oleh Mulaika Hijjas membicarakan perbandingan terhadap perbezaan pandangan pengarang Bustan al-Salatin dengan pengarang Taj al-Salatin tentang wanita yang menjadi raja dalam tampuk pemerintahan. Menurut Nuruddin ar-Raniri dalam Bustan al-Salatin wanita boleh menjadi pemimpin asalkan wanita itu berasal dari keturunan raja yang memerintah kerana asalkan wanita tersebut seorang yang kaya dan dihormati dalam kalangan masyarakat. Dalam hal ini, raja wanita diukur berdasarkan aspek darah keturunan diraja. Segala aspek yang memaparkan kelemahan wanita diketepikan demi menjaga nama baik serta kesucian darah keturunnya. Pengarang menyatakan bahawa darah diraja yang mengalir dalam tubuh setiap waris perlu dikekalkan walaupun berajakan seorang wanita. Nuruddin ar-Raniri juga memuji pemerintahan Sultan Taj al-Alam iaitu raja wanita pertama yang memerintah Acheh selepas kemangkatan Sultan Iskandar Thani. Hal jelas diceritakan dalam bab dua fasal tiga belas yang menceritakan kejayaan Sultan Taju’ l-Alam Safiatun-Din Shah yang mengambil tampuk pemerintahan dari suaminya dilihat penuh kehebatan dari segi adat dan kekayaan kerajaan Nurudin juga menyamai pemerintahan Sultan Taj al-Alam dengan pemerintahan Sultan Iskandar Thani. Hal ini ternyata berbeza dengan realiti sejarah kerajaan  Acheh apabila dilihat negara-negara seperti Pahang, Kedah dan Perlak yang asal dari jajahan takluk Acheh melepaskan diri. Hal ini jelas membuktikan bahawa pemerintahan daripada raja perempuan adalah lemah.

Pandangan Bukhari al-Jauhari dalam karya Tajus al-Salatin tidak menolak akan kepimpinan wanita tetapi boleh dilakukan dalam keadaan tertentu untuk mengelak fitnah, darurat dan sebagainya. Selain itu dalam karya ini ada mengemukakan tentang sifat-sifat wanita dan syarat-syarat yang perlu dilakukan apabila seseorang wanita menjadi pemimpin. Dalam Tajus al-Salatin antara fasal lima hingga sembilan Bukhari al-Jauhari membicarakan tentang raja dan pemerintahan yang menyatakan tentang peranan, sifat dan ciri-ciri seorang raja. Menurut Bukhari al-Jauhari sifat-sifat wanita digambarkan sebagai insan yang kurang budi, beremosi, lemah, perlu dilindungi oleh lelaki, dan tidak boleh berperang berbanding lelaki. Fitrah kejadian wanita juga dilihat menjadi faktor kepada keterbatasan wanita untuk menjadi pemimpin. Seperti  dengan kitaran haidnya setiap bulan, mengandung dan melahirkan anak berbanding dengan fitrah lelaki. Wanita juga dilihat dari segi pandangan Islam, mempunyai keterikatan terhadap batas-batas agama. Sebagai contohnya wanita tidak boleh menjadi iman dalam sembahyang berjemaah, menjadi ketua keluarga, dan batas auratnya wajib dijaga daripada bukan muhrim serta mempunyai tanggungjawab yang besar apabila sudah bersuami, mempunyai anak-anak dan berkeluarga. Menurut Bukhari al-Jauhari lagi wanita boleh menjadi pemimpin dalam bahagian-bahagia tertentu seperti pemimpin kepada kaum mereka, pemimpin dalam soal-soal yang berkaitan dengan kewanitaan dan sebagainya yang layak dan besesuian dengan hak asasi wanita. Sekiranya layak bagi seorang wanita memegang kepimpinan yang menyamai lelaki adalah seharusnya mempunyai penasihat lelaki seeloknya yang muhrin bagi melancarkan peranan dan tanggungjawabnya disamping itu dapat menjaga dan melindungi batas-batas dan fitrahnya sebagai wanita dari pandangan Islam.              

Sehubungan itu, perbandingan dua pandangan tokoh agama dalam dua buah karya besar iaitu Bustan al-Salatin dan Tajus al-Salatin dilihat mempunyai perbezaan yang ketara. Kewajaran pandangan kedua-dua karya ini dilihat berpihak kepada karya Tajus al-Salatin yang memberi gambaran jelas tentang kedudukan wanita sebagai pemimpin dengan terperinci dan mengikut landasan agama Islam. Jika terdapat kesulitan tertentu, barulah wanita boleh diambil untuk menjadi pemimpin dengan mengikuti syarat-syarat yang tertentu. Namun telah ditegaskan bahawa lebih elok seorang pemimpin itu haruslah daripada seorang lelaki. 

Sabtu, 16 Oktober 2010

Syair Bunga Dengan Enam Kelopak

Bunga Dengan Enam Kelopak


Cantik berseri bunga Melati,
Menodora namanya yang asli,
buat perawan si gadis sunti,
menawan senyum memikat hati,

Kelopaknya enam penuh misteri,
sungguh akrab erat sekali,
menjadi lambang enam lelaki,
penjaga diri si gadis sunti,

Kuning warnanya sinari mentari,
ditiup angin terus menari,
sehati sejiwa si gadis sunti,
bersama enam sahabat sejati,

Dingin melanda bunga Melati,
kelopaknya enam terus selimuti,
mengharungi duka tawa berganti,
ikatan kasih kekal abadi,